Pengajian Kitab Hikam(hikam 1)…JOM NGAJI HIKAM…
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA
BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA
HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulakan
Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal
boleh dibahagikan kepada dua jenis :
a) perbuatan zahir
b) perbuatan hati atau suasana
hati berhubung dengan perbuatan zahir itu.
Kalam Hikmat 1 yang
dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada
hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika
kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan
pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah.
Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah
dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan
janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya
tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir
”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan
bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya
walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t
membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang
apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang
diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak
menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung
kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.
Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya,
walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang
demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak
sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala
perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak
akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman
kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya
tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha.
Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan
yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika
ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil,
mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus
asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur
perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak
bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian
orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai
sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan
diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan
amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan
semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk
bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin
menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan
sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah
harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Apabila rohani seseorang
bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri
dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi
tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka
hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya
kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian
dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat,
berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa
dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa
dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan
dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Seterusnya, sekiranya Tuhan
izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata
di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta
kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as-
Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini
tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya
namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah
s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu
tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia
Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan
nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah
syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak
bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya
Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan
(melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan
sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya
(menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di
dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab
seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan
Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah
s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk
termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu
orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal
namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam
lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa
tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak
melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
kesimpulan
Di awal perjalanan menuju
Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat
amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t.
Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap
amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab.
Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t.
Dia melihat semua amalannya
adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga
kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali
dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil,
serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana
dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang
sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan
berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Hikam 2 : AHLI
ASBAB DAN AHLI TAJRID…Bahaya menanti bertarekat tanpa Murabbi…baca
sampai habis
KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID (MENYENDIRI)
PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA ASBAB (BEKERJA)
ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK BERASBAB PADAHAL
ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI
TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat 1
menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung
kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini.
Dunia ini dinamakan alam asbab.
Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau mata akal
akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab yang mempengaruhi
segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku mempunyai sebab yang menyebabkan ia
berlaku.
Golongan Tajrid dan Golongan Asbab
Alam dan hukum yang ada
padanya seharusnya membuat manusia mengenal Tuhan, bukan menutup
pandangan kepada Tuhan. Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t
menerajui hukum sebab-akibat tidak meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut.
Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab.
Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan
ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu memaksa diri
mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi rosak.
Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas dan
perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak (berbuat baik
untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), takbur
(sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih tinggi,
lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah (membawa perhatian
orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara bercerita
mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang baik).
Jadi, ahli asbab perlu
memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas melakukannya.
Suasana hati ahli tajrid berbeza
daripada apa yang dialami oleh ahli asbab.
Jika ahli asbab memperingatkan
dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana
mereka tidak bersandar kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga
kebaikan yang keluar daripada mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang
mengurniakan kebaikan tersebut. Ahli tajrid tidak perlu menentukan
perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama
dengan melihat diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya
sudah ikhlas, padanya masih tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak,
ujub (merasakan diri sendiri sudah baik) dan sama’ah.
Orang tajrid yang
diberi ikhlas oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah
s.w.t. Jika harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah
hak Allah s.w.t. Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan
perbuatan dengan ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t
yang mentadbir sekalian urusan. Ahli asbab dibawa kepada syukur,
ahli tajrid berada dalam penyerahan.
Bahaya Golongan Menanti
Golongan Tajrid
Orang yang berada pada
peringkat permulaan bertarekat cenderung untuk memilih jalan bertajrid iaitu
membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Sikap melulu bertajrid tanpa nasihat daripada murabbi kebiasaannya tidak
dapat bertahan lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya
dan kembali kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan
yang lebih buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu
kerana dia mahu menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk
bertarekat. Keadaan yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu.
Orang yang baharu masuk ke
dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti aulia Allah
s.w.t yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampak semua
yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan
dugaan yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya
berputus-asa. Apa yang harus dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah
s.w.t yang telah mencapai makam yang tinggi secara melulu.
Seseorang haruslah melihat
kepada dirinya dan mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan daya-tahannya.
Ketika masih di dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai
dengan hukum sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan
harus pula berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan.
Golongan yang selamat
Ahli asbab perlu
berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan.
Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi kesan kepada dirinya.
Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan juga tindakan yang
menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada dirinya dan orang
lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan sebagai ahli asbab ialah
apabila urusannya dan tindakannya yang menurut kesesuaian hukum sebab-akibat
tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap tuntutan agama.
Ada pula orang yang ditakdir
supaya bertajrid. Orang ini asalnya adalah ahli asbabyang berjalan menurut
hukum sebab-akibat sebagaimana orang ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti
itu tidak menambahkan kematangan rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya
supaya dia boleh maju dalam bidang kerohanian. Oleh itu takdir bertindak
memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan
di mana hukum sebab-akibat tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan
masalahnya,
Pada peringkat ini seseorang
itu akan kuat beribadat dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia
benar-benar berharap Tuhan akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah
dimilikinya dan dikasihinya. Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya
sehinggalah dia benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya
itu.
Luputlah harapannya untuk
memperolehinya kembali. Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak lagi
merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya kepada Tuhan.
Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar, pilihan
dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid.
Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t sendiri
akan menguruskan kehidupannya.
Allah s.w.t menggambarkan
suasana tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa banyak
binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki
kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )
Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang
hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t memudahkan baginya
rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya. Jiwanya tetap tenteram
sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika menerima bala ujian.
Sekiranya ahli tajrid sengaja
memindahkan dirinya kepada makam asbab maka ini bermakna dia
melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk. Ini menunjukkan
akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. Tindakan yang jahil
itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang terus keberkatan yang Allah s.w.t
kurniakan kepadanya. Andainya dia meninggalkan suasana bertajrid lalu berasbab kerana
tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya maka keberkatannya akan
terjejas. Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak seberkesan dahulu lagi.
Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan kefasihan lidahnya tidak
selancar biasa.
Seseorang hamba haruslah
menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya.
Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah Maha Mengetahui dan
Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap makhluk-Nya. Allah
s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Kesimpulannya
Keinginan kepada pertukaran
makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di dalamnya tersembunyi rangsangan
nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini merangkumi kehendak, cita-cita dan
angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu hatinya setelah lama hidup di
dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk meninggalkan suasana asbab dan
masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah lama berada dalam
suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, ikut kembali
kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan. Nafsu mencuba untuk
bangkit semula menguasai dirinya.
Orang asbab perlulah
menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam tajrid itu
mungkin secara halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya.
Orang tajrid pula perlu sedar keinginannya untuk kembali kepada asbab itu
mungkin didorong oleh nafsu rendah yang masih belum berpisah dari hatinya.
Ulama tasauf mengatakan seseorang mungkin dapat mencapai semua makam
nafsu, tetapi nafsu peringkat pertama tidak akan hilang. Oleh yang demikian
perjuangan atau mujahadah mengawasi nafsu sentiasa berjalan.
BERSAMBUNG HIKAM KETIGA
HIKAM KETIGA, TAKDIR ALLAH TIDAK BOLEH DILAWAN
KEKUATAN SEMANGAT (AZAM,
CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang pertama
menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal
zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati)
berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita
cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan
amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan
kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana
seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat.
Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk
kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat yang lalu telah
memberi pendidikan yang halus kepada jiwa.
Hikam pertama : Seseorang itu
mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian
yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah
s.w.t.
Hikam kedua : Sikap menyerah
tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang
meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian
mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab dan
tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah s.w.t
dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang melulu.
Hikmat ke tiga ini pula
mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala
sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid
melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu
sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan
segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t.
Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan
yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu
dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh
Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab daripada
memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi
alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati daripada
melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat, akal
fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan dan
urusan Tuhan.
Hijab kedirian itu jika
disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang
melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera
nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang
dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak
kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang
bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan
nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan
nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Tidak ada komentar:
Write komentar